Saturday, October 3, 2009

USAHA-USAHA KERAJAAN UNTUK MEMUPUK PERPADUAN NASIONAL

Kerajaan Malaysia telah menubuhkan Jabatan Perpaduan Negara ( kini Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional-JPNIN) pada tahun 1969 untuk memupuk perpaduan dan keharmonian antara kaum. JPNIN kini juga dipertanggungjawab memantapkan integrasi nasional, iaitu merapatkan masyarakat daripada semua negeri di Malaysia, khususnya antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak. Usaha-usaha lain yang diambil oleh kerajaan untuk memupuk perpaduan nasional dan hubungan etnik yang harmonis ialah pengenalan Rukun Negara (Ideologi Kebangsaan), Dasar Ekonomi Baru, Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan; pergabungan parti-parti politik melalui Barisan Nasional; dan integrasi antara wilayah (antara kawasan bandar dengan luar bandar serta antara semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak).

Namun, untuk menjamin dan memelihara hubungan etnik yang harmonis, sumbangan yang besifat top-down sahaja tidak mencukupi. Usaha ini mesti digenapkan oleh suatu usaha berbentuk bottom-up. Justeru, kerjasama dan sumbangan daripada sektor swasta (pimpinan korporat serta pelabur asing), sektor komuniti (pihak badan bukan kerajaan atau NGO) dan semua parti politik adalah sangat kritikal untuk melengkapkan usaha kerajaan yang bersifat top-down. Oleh yang demikian, keharmonian hubungan etnik di Malaysia tidak bergantung semata-mata pada keadaan berbaik-baik antara kumpulan etnik tetapi juga antara kumpulan kelas sosial yang berbeza (antara para pekerja, anggota kelas menengah dan mereka yang kaya daripada pelbagai kumpulan).

No comments:

Post a Comment