Monday, October 5, 2009

HUBUNG KAIT ANTARA EKONOMI DAN ETNISITI

Pengalaman sejarah membuktikan terdapat hubung kait yang jelas antara ekonomi dan etnisiti, khususnya identifikasi kegiatan dalam sesuatu sekto ekonomi dengan sesuatu kaum. Daripada keadaan ini, timbul persepsi yang kemudian menjadi stereotaip bahawa majoriti etnik Melayu terdiri daripada petani dan nelayan, etnik Cina pula terlibat dalam perniagaan dan sektor perlombongan manakala sebilangan besar etnik India merupakan buruh di estet. Di Sabah dan Sarawak pula, streotaipnya pula ialah kelompok peribumi terus menetap di kawasan pedalaman dalam keadaan serba serbi mundur sedangkan faktor ekonomi dikuasai oleh etnik Cina. Ertinya, apabila kita menyebut hal ekonomi, ini akan menyentuh secara langsung atau tidak langsung hal etnisiti dan begitu juga sebaliknya, seperti kata pepatah "cubit paha kanan, paha kiri sakit juga."

Berdasarkan keadaan tersebut, para penyelidik, sarjana dan pemerhati mengenai masyarakat Malaysia pernah menghujah bahawa memang tidak dapat dinafikan akan peri pentingnya faktor pertumbuhan ekonomi dan faktor kestabilan politik sebagai teras kejayaan Malaysia selama ini. Bagi mereka anak kunci bagi survival Malaysia ialah hubungan etnik yang harmonis. Menurut mereka lagi, sekiranya hubungan etnik yang harmonis ini tergugat maka survival Malaysia sebagai sebuah negara bangsa juga turut tercabar, biarpun kadar pertumbuhan ekonominya memuaskan dan kestabilan politik kelihatan baik. Pandangan ini dinyatakan dengan jelas oleh Joseph Stiglitz, bekas Ketua Ahli Ekonomi, Bank Dunia (1997-2000) dan penerima anugerah nobel (bidang ekonomi), 2001:

"I had the opportunity to talk to Malaysia's Prime Minister after the riots in Indonesia. His country has also experienced ethnic riots in the past. Malaysia has done a lot to prevent their recurrence, including putting in a program to promote employment for ethnics Malays. Mahathir knew that all gains in building a multiracial soceity could be lost, had he left the IMF dictate its policies to him and his country and then riots had broken out. For him, preventing a severe recession was not just a matter of economics, it was a matter of the survival of the nation."

Kenyataan Stiglitz inimenekankan bahawa dalam konteks Malaysia, apabila berlakunya sesuatu kegawatan ekonomi yang tenat (seperti yang terjadi pada tahun 1997-1998), penyelesaian ekonomi sahaja ternyata tidak mencukupi kerana seperti yang kita sedia maklum akan hubung kait ekonomi dan etnisiti amat rapat. Ertinya, jika masalah ekonomi terjadi, maka dengan sendirinya masalah ini akan menjadi masalah etnisiti. Maka sebarang penyelesaian terhadap sesuatu masalah ekonomi di Malaysia mesti diambil kira impaknya terhadap hubungan etnik. Hubungan timbal balik antara ekonomi dan etnisiti merupakan satu ciri penting sistem sosial Malaysia yang hingga sekarang masih bertahan dengan baik, sehingga mendapat pujian daripada beberapa negara mundur, membangun dan maju di dunia hari ini. Malahan, beberapa negara telah menjadikan Malaysia sebagai negara contoh.

Intipati daripada huraian tersebut ialah hubungan etnik merupakan satu ciri penting yang mencorakkan sistem sosial Malaysia dan seterusnya mewarnai kehidupan harian smua rakyat Malaysia. Cuma, seluas dan sedalam manakah pengetahuan setiap rakyat Malaysia mengenai dinamika yang menjadi landasan proses hubungan etnik tersebut, iaitu pengetahuan yang melewati pandangan mata kasar dan pendapat popular? Hal ini masih diragui kerana kita tidak pernah mengkaji atau mencipta indeks untuk mengukur paras kefahaman tersebut. Kalau ada pun aspek ini masih dalampercubaan dan belum diaplikasikan. Tambahan pula, untuk mengukur erat longgarnya perpaduan etnik di Malaysia bukan suatu tugas yang mudah berbanding dengan menilai kepesatan pertumbuhan ekonomi negara. Dalam bidang ekonomi, kita mampu menjelaskan bagaimana kita membina asas ekonomi yang kukuh dan akhirnya mampu menempatkan kedudukan ekonomi pada tahap yang dihormati di seluruh dunia. Kenyataan ini mudah disokongoleh angka pertumbuhan ekonomi yang sihat. Sebaliknya, petunjuk dalam bidang hubungan etnik kita masih memerlukan suatu pendekatan yang mudah difahami, mantap dan realitistik untuk menghuraikan kejayaan Malaysia secara umum dalam mengekalkan keharmonian antara kaum.

Walaupun kita menghadapai kesukaran dalam mengukur tahap perpaduan nasional, namun negara-negara asing seluruh dunia masih melihat Malaysia secara perbandingan sebagai sebuah negara yang berjaya mewujudkan hubungan etnik yang harmonis. Tidak keterlaluan kalau dikatakan bahawa pemilihan Malaysia beberapa tahun lalu sebagai Pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) mempunyai kaitan langsung dengan prestasi baik ekonomi dan kestabilan politiknya yang terbina dalam acuan hubungan etnik yang harmonis.



1 comment: