Friday, October 9, 2009

KONSEP RAS DAN RASISME

Di Malaysia, konsep-konsep ras dan etnik kerap kali dicampur aduk sehingga maknanya lebih kurang sama. Orang melayu, cina dan india serta pelbagai etnik lain di Sabah dan Sarawak yang sepatutnya dikenali sebagai etnik, juga dipanggil ras dalam kehidupan seharian.

Pada dasarnya, ras boleh dikatakan sebagai sebuah kelompok sosial yang mempunyai tanda pengenalan kolektif berasaskan ciri-ciri fizikal biologikal nyata, seperti warna kulit, warna mata, warna rambut dan sebagainya. Ciri paling ketara yang digunakan untuk membezakan kumpulan manusia ialah warna kulit.

Rasisme ditakrifkan sebagai pandangan, pemikiran, atau kepercayaan negatif oleh sesuatu kelompok sosial atau para anggotanya terhadap sesuatu kelompok lain berdasarkan perbezaan wajah fizikal-biologikal atau ras semata-mata dan ini ditunjukkan secara terbuka melalui perilaku atau tindakan terbuka. Rasisme ialah gabungan prejudis dan kuasa yang diartikulasi melalui diskriminasi berasaskan warna kulit dan ciri-ciri fizikal biologikal yang lain.

Rasisme wujud pada dua tahap: tahap individu dan tahap institusi. Pada tahap individu, rasisme berlaku dalam bentuk kepercayaan bahawa wujudnya ras tertentu yang berstatus lebih tinggi dan ada ras yang berstatus lebih rendah. Rasisme pada peringkat individu ini wujud dalam bentuk kepercayaan dan sikap individu. Pada tahap institusi, rasisme melibatkan dasar dan pelaksanaan yang bersifat diskriminasi, seterusnya membentuk ketidaksamaan bagi masyarakat daripada ras ang berbeza. Rasisme pada tahap institusi ini dapat dilihat secara tersirat dalam struktur sosial.

1 comment: