Sunday, October 11, 2009

PLURALITI DAN MASYARAKAT PLURALISTIK DI MALAYSIA

Pengenalan

Pluralisme budaya bukan fenomena baru dalam Alam Melayu. Interaksi antara pelbagai budaya seperti Arab pra-islam, Hinduisme, Buddhisme, Arab Islam dan Eropah (yang diwakili oleh Portugis, Sepanyol, Belanda dan British) dengan budaya Alam Melayu telah berlaku sekurang-kurangnya sejak abad ke 5 masihi lagi.

Pertembungan dan pertemuan budaya-budaya besar dunia tersebut telah melahirkan satu ciri fenomena sosial yang istimewa dalam Alam Melayu, iaitu fenomena kepluralitian budaya.

PENGALAMAN MALAYSIA

Konsep-konsep asas hubungan etnik sangat relevan untuk memahami situasi hubungan etnik yang terdapat dalam kalangan masyarakat majmuk Malaysia.

Kepelbagaian etnik sama ada secara langsung atau tidak, memainkan peranan penting dalam hubungan etnik di Malaysia. Berdasarkan kepelbagaian inilah, kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah dan program bagi memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat. Antara lanhkah penting yang diambil ialah menubuhkan Jabatan Perpaduan Negara selepas peristiwa 13 mei 1969.
Kerajaan juga telah bertindak secara aktif dengan menubuhkan majlis Penasihat Perpaduan Negara pada peringkat pusat dan Jawatankuasa Penasihat Perpaduan Negeri pada peringkat negeri. Penubuhan majlis ini bertujuan mmbincangkan isu-isu perpaduan kaum di Malaysia secara harmoni dan tidak menggugat kestabilan politik yang sedia wujud. Kerajaan juga telah memperkenalkan pelbagai dasar termasuk Dasar Ekonomi Baru dan Dasar Pendidikan Kebangsaan untuk memupuk perpaduan nasional.

Kharmonian hubungan etnik di Malaysia terlihat dalam setiap lapisan masayrakat melalui rumah terbuka, penerimaan budaya antara etnik dan perkongsian kuasa politik. Sebagai contoh, hubungan etnik yang harmonis di Melaka dibuktikan lagi dengan jelas hingga kini melalui seni bina Masjid dan rumah ibadat lain. Masjid Kapitan Kling dan Masjid Tengkera misalnya, mempunyai gabungan seni bina cina, melayu, arab dan india. Masjid-masjid yang dibina pada zaman kesultanan melayu melaka adalah unik iaitu mempunyai menara berunsurkan pagoda dan ukiran campuran bermotif tempatan, arab dan india seta cina.

Pada masa ini pula, Kementerian Kesenian, kKebudayaan dan Warisan telah memperkukuh lagi warisan kesenian rakyat Malaysia seperti tarian, muzik, pemakaian pakaian tradisional dan makanan dalam kalangan masyarakat majmuk malaysia. Misalnya, makanan etnik melayu seperti nasi lemak menjadi kegemaran rakyat Malaysia; begitu juga dengan masakan etnik cina seperti nasi goreng cina, mi hailam dan masakan india seperti kari. Manakala dari segi pakaian, para pelajar bukan melayu tidak berasa janggal memakai baju kurung dan baju melayu, khususnya pada hari Jumaat. Semasa sambutan tahunan Hari Kemerdekaan, kesenian rakyat Malaysia seperti pakaian dan alat muzik telah dipaparkan. Begitu juga perbarisan kontinjen pasukan Malaysia dalam mana-mana acara sukan tlah memaparkan kesenian rakyat Malaysia.

Sebagai ahli masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kumpulan etnik, kita harus mengelakkan sikap prejudis, stereotaip, rasisme dan diskriminasi bagi memupuk keharmonian dan perpaduan nasional. Sebaliknya, konsep seperti akomodasi wajar dijadikan panduan dalam menjalinkan hubungan etnik di Malaysia.

KONSEP AMALGAMASI

Amalgamasi merupakan satu proses yang terjadi apabila budaya atau ras bercampur untuk membentuk jenis budaya dan ras baru. Cara utama dalam menentukan proses amalgamasi adalah dengan terjadinya perkahwinan campur antara kumpulan etnik.

Teori amalgamasi dinyatakan dalam bentuk formula A+B+C=D, disini A,B, dan Cmewakili kumpulan etnik berlainan dan D mewakili amalgam, satu kumpulan baru terhasil daripada penyatuan A,B dan C. Sebagai contoh, kumpulan-kumpulan etnik yang sedia wujud mengamalkan parkahwinan campur lalu membentuk satu genarasi baru atau budaya baru tanpa menuruti budaya asal mereka.

KONSEP ASIMILASI

Asimilasi merupakan satu proses percantuman dan penyatuan antara kumpulan etnik berlainan budaya sehingga membentuk satu kelompok dengan kebudayaan dan identiti yang sama. Menurut Vander Zanden (seorang ahli sosiologi), asimilasi ialah satu proses dalam mana kelompok-kelompok yang berfikir, berperasaan dan bertindak secara berlainan, menjadi satu dalam kesatuan sosial serta budaya yang sama. Asimilasi mutlak atau sempurna menyebabkan berlakunya penghapusan penuh perbezaan dari segi kebudayaan dan identiti. konsep ini diwakili dengan formula A+B+C =A, disini A dalam hal ini mewakili golongan dominan smentara B dan C mewakili kumpulan etnik minoriti. Contohnya, orang melayu di Thailand telah mengalami proses asimilasi yang menyebabkan nama, bahasa dan hampir semua aspek cara hidup mereka (kecuali agama) telah disatukan dengan amalan dan cara hidup orang Thai. Di Malaysia, apa yang berlaku keatas masyarakat Jawa, Cina Kelantan, Baba dan Nyonya merupakan contoh berlakunya proses asimilasi. Namun, bagi etnik cina di Kelantan serta Baba dan Nyoya, asimilasi berlaku dalam konteks budaya tanpa melibatkan anutan kepercayaan atau agama.

Proses asimilasi berlaku apabila wujudnya interaksi yang erat antara ahli kumpulan etnik etnik berbeza budaya bagi suatu tempoh yang lama. kejayaan asimilasi umumnya bergantung kepada kesanggupan etnik minoriti menghilangkan identiti mereka dan menerima identiti kumpulan etnik majoriti; terdapt banyak persamaan budaya antara kumpulan etnik; dan kesanggupan kumpulan etnik majoriti menerima kumpulan etnik minoriti.

KONSEP AKULTURASI

Akulturasi merupakan satu proses penerimaan unsur kebudayaan dalam kalangan individu atau kelompok dari sesuatu kebudayaan lain yang berbeza. Akulturasi terjadi apabila satu kelompok manusia dengan kebudayaan tertentu dihadapkan dengan unsur dari suatu kebudayaan asing yang berbeza sehingga unsur kebudayaan asing itu akhirnya diterima dan diolah dalam kebudayaan sendiri. Berbeza dengan proses asimilasi, proses akulturasi tidak menyebabkan kehilangan identiti asal masyarakat penerima.

Dalam sejarah tamadun manusia, sering berlaku pertemuan atau pertembungan antara dua atau lebih kebudayaan. Proses ini menyebabkan berlakunya proses pinjam meminjam. Pada peringkat awal, unsur pinjaman digunakan secara langsung dan kemudian diolah serta dijadikan usur kebudayaan sendiri. Di Malaysia, beberapa kes boleh dijadikan rujukan seperti penggunaan tali leher, angpau, makanan, hiburan dan sebagainya. Tetapi, jika unsur budaya yang diambil itu tidak diolah dengan baik, pastinya tindakan ini akan memberi kesan yang tidak baik kepada sesuatu masyarakat.

Tidak mudah untuk membentuk sebuah masyarakat yang mencapai tahap akulturasi. Akulturasi lebih mudah dicapai apabila melibatkan budaya bersifat kebendaan yang mendatangkan manfaat seperti pakaian barat. Unsur-unsur budaya yang tidak bebrbentuk kebendaan seperti ideologi dan pemikiran adalah lebih sukar diterima.

KONSEP AKOMODASI

Akomodasi merupakan proses yang menyebabkan setiap kumpulan etnik menyedari serta menghormati norma dan nilai kumpulan etnik lain dan tetap mempertahankan budaya hidup masing-masing. Konsep ini diwakili oleh formula A + B + C = A + B + C, disini A, B dan C merujuk kepada budaya.

Pelbagai kumpulan etnik hidup secara harmonis dan menghormati antara satu sama lain. Pada peringkat pemerintahan pusat, setiap kumpulan etnik mempunyai wakil dalam bidang ekonomi dan pendidikan dan mereka saling bergantung. konsep ini begitu meluas diamalkan di Malaysia kerana setiap kumpulan etnik bebas mengamalkan budaya mereka dalam keadaan harmoni. Jika dilihat di luar Malaysia, Switzerland ialah negara yang mempunyai hubungan etnik bersifat akomodasi kerana etnik jerman, perancis dan itali saling membuat penyesuaian antara mereka.

KONSEP SEGREGASI

Segregasi merupakan pemisahan atau pengasingan antara satu kumpulan etnik dengan kumpulan etnik yang lain dalam sesubuah negara. Pemisahan berlaku dalam beberapa keadaan, antaranya dari segi kawasan tempat tinggal, sistem persekolahan, pengangkutan dan kemudahan awam. Segregasi wujud sama ada didasari oleh undang-undang atau sebaliknya seperti Dasar Aparteid di Afrika Selatan yang dilaksanakan antara tahun 1948-1994

KONSEP PERPADUAN DAN INTEGRASI

Perpaduan boleh diertikan sebagai satu proses yang menyatupadukan seluruh masyarakat dan negara supaya setiap anggota masyarakat dapat membentuk satu identiti dan nilai bersama serta perasaan cinta dan banggakan tanah air.

Integrasi merupakan satu proses bagi mewujudkan satu identiti nasional dalam kalangan kumpulan yang terpisah dari segi kebudayaan, sosial dan lokasi dalam sesebuah unit politik (Ahmad Haji Kambar, 1987). Unsur integrasi yang terdiri daripada

  1. Integrasi wilayah yang bertujuan mengurangkan jurang perbezaan pembangunan ekonomi dan sosial antara wilayah yang maju dengan yang mundur. Di Malaysia, tumpuan integrasi wilayah ialah antara Malaysia Barat dan Malaysia Timur dan Pantai Timur Semenanjung Malaysia dengan Pantai Barat Semenanjung Malaysia.
  2. Integrasi ekonomi yang boleh diertikan sebagai usaha-usaha untuk mengurangkan jurang perbezaan ekonomi antara kumpulan etnik
  3. Integrasi kebudayaan melibatkan usaha membentuk suatu kebudayaan kebangsaan
  4. Integrasi sosial merangkumi usaha-usahameyatupadukan rakyat melalui progam sosial seperti sukan, pendidikan, perumahan dan kesihatan
  5. Integrasi pendidikan bertujuan untuk mewujudkan satu sistem pendidikan yang bercorak kebangsaan dan sempurna dari segi intelek, jasmani dan rohani
  6. Integrasi politik yang merangkumi usaha-usaha menyatukan rakyat melalui kerjasama dan pembahagian kuasa politik.

Proses mencapai sebuah masyarakat integrasi bukanlah suatu yang mudah. Menurut Ting Chew Peh (1987), integrasi ialah suatu proses yang sangat kompleks. Tahap-tahap hubungan etnik boleh dilihat dari segi darjah kedkatan bermula dengan hubungan terpisah iaitu segregasi sehinggalah hubungan berbentuk sebati iaitu amalgamasi. Perhubungan yang lebih rapat antara wilayah dapat mewujudkan integrasi dalam bidang politik dan nilai. Perhubungan ini seterusnya mampu mengurangkan konflik dan mengutamakan persefahaman serta mewujudkan perasaan harmonis antara pelbagai etnik.

KONSEP BUDAYA

Perkataan budaya berasal daripada cantuman perkataan Sanskrit dan Melayu, iaitu 'budhi' dan 'daya'. Perkataan 'budhi' yang dipinjam daripada bahasa Sanskrit bererti kecergasan fikiran dan akal. Perkataan 'daya' pela ialah perkataan melayu Polynesia yang bermakna kekuatan kuasa, tenaga dan pengaruh. Jika dicantumkan kedua-dua perkataan tersebut, budaya membawa maksud tenaga fikiran, usaha rohani atau kuasa menggerakkan jiwa (Nik Safiah Haji Abdul Karim, 1963)

Dictionary of Philosophy (1996) memberikan maksud budaya sebagai

"The way of life of people, including their attitudes, values, beliefs, arts, sciences, modes of perception, and habits of thought and activity. Cultural features of forms of life are learned but are too pervasive to be readily noticed from within"

Kamus Dewan (2005) pula mendifinisikan budaya sebagai kemajuan fikiran, akal budi (cara berfikir), berkelakuan dan sebagainya. Tegasnya, budaya boleh didefinisikan sebagai suatu cara hidup yang diamalkan oleh kumpulan tertentu dan meliputi sistem sosial, susunan organisasi ekonomi, politik, agama, kepercayaan, adat resam, sikap dan nilai.

Budaya boleh dibahagikan kepada dua: budaya kebendaaan dan budaya bukan kebendaan. Budaya kebendaan adalah peralatan dan kelengkapan hidup seperti rumah, kereta, perahu, senjata dan sebagainya. Contohnya, orang melayu mempunyai rumah yang reka bentuknya berbeza dengan orang Inggeris atau orang eskimo. Manakala budaya bukan kebendaan ialah kepercayaan, adat istiadat dan undang-undang. Setiap masyarakat mempunyai adat istiadat tersendiri dalam menjalani kehidupan. Misalnya, dalam adat perkahwinan masyarakat melayu, pihak lelaki memberi hantaran kepada pihak perempuan manakala bagi masyarakat india hantaran perkahwinan diberikan oleh pehak perempuan kepada pihak lelaki. Dalam budaya melayu, faktor agama penting kerana agama bukan sahaja dianggap sebagai satu sistem kepercayaan semata-mata tetapi juga sebagai suatu perlembagaan hidup yang meliputi kepercayaan dan amalan hidup. Bahasa pula penting sebagai alat komunikasi. Adat resam juga mustahak sebagai petunjuk jalan bagi seseorang dalam mengendalikan hidup bermasyarakat dan berbudaya.

Terdapat dua peranan utama bagi pembentukan sesuatu budaya: pertama, membina imej negara kearah mewujudkan keperibadian serta identiti; dan kedua, memupuk kesedaran kebangsaan dan kenegaraan bercirikan kerohanian, kemanusiaan, spiritual dan mental. Budaya memberikan identiti kepada sesuatu kelompok dalam aspek cara pengendalian hidup. Budaya diwarisi daripada satu keturunan kepada satu keturunan. Oleh itu, budaya dikatakan sebagai satu himpunan kelengkapan intelektual dan kebendaan yang dapat memenuhi kehendak biologi dan kemasyarakatan serta dapat menyesuaikannye dengan keadaan sekeliling (Mohd taib Osman,1988)

Buday mempunyai ciri-ciri tersendiri. Antara ciri-ciri penting bagi sesuatu budaya ialah
  1. dipelajari
  2. dikongsi
  3. bersifat sejagat
  4. diwarisi
  5. berubah-ubah
  6. mempunyai unsur simbolik, dan
  7. adanya pandangan semesta

Budaya bersifat universal tetapi paradoksnya pada masa yang sama terdapat perbezaan antara budaya satu masyarakat dengan masyarakat lain. Sesuatu kebudayaan berkembang dan terus dicipta mengikut kesanggupan masyarakatnya. Ada budaya yang dipadankan apabila berlaku pertembungan dengan pengaruh luar sama ada untuk mengisi kekosongan sebagai alternatif atau menokok kepada apa yang telah sedia ada. Maka boleh dikatakan bahawa manusia itu sendiri membentuk budaya dan perkembangan budaya akan mengikut perkembangan masayrakat itu sendiri (A. Aziz Deraman, 2001)

Friday, October 9, 2009

KONSEP MASYARAKAT

Masyarakat menurut definisi kamus dewan (2005) ialah kumpulan manusia yang hidup bersama di sesuatu tempat dengan aturan dan cara tertentu. Individu, keluarga dan kumpulan-kumpulan kecil merupakan anggota sesebuah masyarakat. Jaringan erat wujud dalam kalangan anggota tersebut, khususnya melalui hubungan bersemuka. Daripada pergaulan ini, terbina pola hubungan sosial yang berulang sifatnya seperti kegiatan gotong royong, bersama-sama merayakan sesuatu perayaan melalui rumah terbuka, berkumpul menyambut pembesar yang datang berkunjung, menghadiri kendui majlis perkahwinan, membantu mereka yang ditimpa malapetaka atau menziarahi jiran yang sakit tenat atau yang telah meninggal dunia. Kekerapan pergaulan ini membina satu kesepaduan dalam masyarakat tersebut sebagai satu unit sosial. Dalam konteks Malaysia, hubungan harmonis antara pelbagai kumpulan etnik dapat membina sebuah masyarakat Malaysia yang teguh.

Setiap masyarakat pula mempunyai budayanya yang tersendiri yang terbentuk daripada hubungan rapat sesama anggotanya semenjak masyarakat itu wujud. Sebagai contoh, masyarakat melayu kampung di kawasan luar bandar Malaysia telah wujud berpuluh abad lamanya, semenjak sbelum kedatangan kebudayaan asing (sama ada dari negara China, India, Tanah Arab atau Eropah). Masyarakat melayu luar bandar yang paling baru dibentuk pada tahun 1956 ialah perkampungan FELDA (Federal Land Development Authority atau Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan). Perkampungan FELDA adalah untuk mereka yang berpendapatan rendah.

Para sarjana sains sosial dan kajian kemanusiaan telah menegaskan bahawa kebudayaan tidak wujud jika tidak ada masyarakat. Pendapat ini berasaskan fakta sejagat bahawa manusia sebagai anggota masyarakat telah bertanggungjawab mencipta, mengubah, menokok dan melestarikan budaya, dan telah menurunkannya daripada generasi kepada generasi untuk jutaan tahun dalam peradaban manusia sedunia. Proses mewariskan budaya melibatkan interaksi dua generasi; pertama, generasi yang menurunkan budaya; dan kedua, generasi yang menerima budaya.

Generasi yang menurunkannya ketika menerima budaya tersebut telah pun mengubahsuaikannya secocok dengan keadaan persekitaran sosial dan fizikal semasa mereka. Begitu jugalah yang dilakukan oleh generasi yang menerima, iaitu anak-anak mereka pun turut mengubah suai budaya yang mereka terima berasaskan situasi sosial dan fizikal semasa. Dengan cara inilah, sesuatu budaya terus menerus diperturun, diubah suai dan dilestarikan sepanjang zaman, yang selanjutnya menjadi asas pembinaan sesebuah tamadun besar seperti di Mesir, negara China, India atau di wilayah yang lain.

Masyarakat yang berbudaya berkembang dengan menurunkan dua bentuk budaya: budaya material seperti Tembok Besar China dan Piramid di Mesir; dan budaya bukan material sepeti sistem kepercayaan dan agama, falsafah dan kesusasteraan, dan pemikiran sains serta kemampuan mencipta teknologi. Paduan kedua-dua komponen budaya inilah yang menjadi pemacu kepada perkembangan dan kemajuan sesebuah masyarakat. Penglibatan setiap anggota masyarakat diperlukan bukan setakat untuk mengatur kehidupan berlandaskan undang-undang, sistem politik, ekonomi dan pentadbiran tetapi juga dari segi nilai, norma, emosi dan semangat mencintai masyarakat atau sesebuah negara, yang seterusnya pula mengandungi pelbagai rupa bentuk masyarakat.

Kita semua perlu memahami secara jelas konsep-konsep masyarakat itu sendiri atas sebab-sebab berikut:

  1. Memahami hakikat bahawa manusia, demi kelangsungan hidup, tiada pilihan lain tetapi untuk hidup bermasyarakat
  2. manusia mesti memahami sebaik mungkin cara hidup bermasyarakat
  3. Memahami budaya masyarakat sendiri dan juga masyarakat lain; dan
  4. Terus memupuk kerjasama dalam masyarakat sendiri dan dengan masyarakat lain. Sehubungan dengan itu, sifat dan ciri-ciri masyarakat juga perlu diketahui dan difahami kerana masyarakat itu adalah sesuatu yang dinamik.

Ciri-ciri utama masyarakat adalah seperti berikut

  1. Berkelompok
  2. Berbudaya
  3. mengalami perubahan
  4. Berinteraksi (dalaman dan dengan pihak luar)
  5. mempunyai kepimpinan dan
  6. mempunyai aturan sosialnya

Berdasarkan pemahaman mengenai masyarakat yang dihuraikan tadi ternyata bahawa Malaysia ialah sebuah masyarakat yang mengandungi pelbagai kumpulan etnik dan budaya. Dari segi sejarahnya, masayrakat Malaysia juga telah terbukti mempunyai asas kukuh untuk mewujudkan masyarakat berilmu, bermoral dan mendukung cita-cita murni bangsa Malaysia berteraskan konsep negara bangsa. Hal ini telah dimanifestasikan oleh pemimpin dan rakyat melaui pemikiran, nilai sosiobudaya, perlambangan dan jiwa kemanusiaan serta kerohanian tinggi yang mereka amalkan sehingga hubungan etnik yang harmonis terus bertahan dengan baik.

Namun begitu, konsep masyarakat Malaysia tidak boleh disamakan dengan konsep bangsa Malaysia kerana kedua-duanya mempunyai maksud yang berbeza, walaupun merujuk kepada sebuah entiti politik yang sama, iaitu Malaysia. Masyarakat Malaysia adalah sebuah konsep yang lebih luas skopnya, atau boleh dianggap sebagai sebuah konsep payung, yang merangkumi konsep bangsa malaysia yang merujuk pula kepada satu cita-cita politik, seperti yang diungkapkan dalam Wawasan 2020. Melalui Wawasan 2020, para pemimpin Malaysiabersama-sama masyarakatanya telah menggariskan cita-cita untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020 yang berasaskan satu bangsa bersepadu yang dikenali sebagai bangsa Malaysia. Dari satu segi, bangsa Malaysia merupakan satu bangsa idaman yang kita kehendaki. Tentunya bangsa malaysia yang kita idamkan itu berteraskan hubungan etnik yang harmonis.

Pembentukan bangsa malaysia boleh diukur berpandukan tiga perspektif utama : kenegaraan, kewarganegaraan dan kebangsaan. Semangat kenegaraan perlu ditanam dan dipupuk dalam diri setiap rakyat demi keutuhan negara sebagai kumpulan sosial. Semangat ini boleh ditanam melalui simbol yang mewakili keutuhan negara seperti bendera malaysia, lagu kebangsaan dan rukun negara. Daripada aspek kewarganegaraan, bangsa melayu, cina, india dan lain-lain dapat disatukan melalui kewarganegaraan yang sama, iaitu warganegara malaysia. Aspek kebangsaan pula dapat ditonjolkan melalui kebudayaan kebangsaan yang merupakan penggerak dalam menguatkan semangat kebangsaan dan menjadi batu asas kepada pembentukan bangsa malaysia. Pada hakikatnya, hubungan antara kebudayaan kebangsaan dengan semangat kebangsaan adalah bertimbal balik kerana masing-masing saling menyokong dan menguatkan antara satu sama lain.





KONSEP-KONSEP ASAS HUBUNGAN ETNIK

PENGENALAN

Usaha-usaha untuk memupuk perpaduan yang harmonis antara pelbagai kumpulan etnik di Malaysia sentiasa dilaksanakan pada setiap lapisan masyarakat, terutamanya dalam kalangan para pelajar melalui sistem pendidikan yang sedia ada. Untuk membina suatu kefahaman yang lebih mendalam, usaha ini mstilah dilalui dengan memperkenalkan beberapa konsep asas yang mendasari hubungan etnik.

Tiga konsep penting yang akan dibincangkan ialah masyarakat, budaya dan perpaduan. Penjelasan mengenai hubung kait antara satu sama lain akan dibincnagkan berlatar belakangkan konsep hubungan etnik di Malaysia.

KONSEP ETNIK, ETNISITI DAN ETNOSENTRISME

Etnik boleh didefinisikan sebagai sekelompok manusia yang mengamalkan budaya yang hampir seragam, termasuk adat resam, pakaian, bahasa dan kegiatan ekonomi. Konsep etnik mempunyai erti yang berkaitan rapat dengan konsep-konsep ras dan bangsa. Ras dan bangsa memberikan penekanan pada perbezaan fizikal atau sifat-sifat biologi (keturunan dan pertalian darah yang sama) antara sesama manusia. Dalam konteks masyarakat majmuk Malaysia, terdapt pelbagai kelompok etnik yang hidup berlainan, tetapi dibawah sistem politik yang sama.

Etnik dapat dikelaskan melalui perbezaan budaya. Etnik sering berbeza berdasarkan ciri budaya seperti adat resam, pola keluarga, pakaian, pandanganmengenai kecantikan, orientasi politik, kegiatan ekonomi dan hiburan. Di Malaysia, orang melayu, india, cina, kadazan dusun, melanau dan pelbagai lagi dianggap sebagai etnik. Etnik pada dasarnya bersifat etnosentrik, iaitu mengangap ciri-ciri budayanya sebagai wajar, betul dan lebih utama daripada budaya etnik lain yang dipandang rendah serta dianggap ganjil ataupun berada pada tahap rendah atau tidak bermoral.

Konsep etnik membentuk konsep etnisiti dan etnosentrisme. Etnisiti merujuk kepada rasa kekitaan sesuatu kumpulan etnik tertentu. Hal ini bererti wujudnya satu kebudayaan atau sub budaya yang jelas yang menyatukan anggotanya dengan satu sejarah, nilai, sikap dan tingkah laku yang sama. Etnosentrisme pula merujuk kepada kepercayaan atau rasa bangga yang wujud dalam kalangan anggota sesebuah kelompok etnik bahawa budaya dan etnisiti mereka adalah jauh lebih baik dan hebat daripada kelompok lain. Etnosentrisme juga membawa makna suatu perspektif yang melihat kelompok etnik lain menerusi lensa dan kaca mata etnik sendiri.

KONSEP RAS DAN RASISME

Di Malaysia, konsep-konsep ras dan etnik kerap kali dicampur aduk sehingga maknanya lebih kurang sama. Orang melayu, cina dan india serta pelbagai etnik lain di Sabah dan Sarawak yang sepatutnya dikenali sebagai etnik, juga dipanggil ras dalam kehidupan seharian.

Pada dasarnya, ras boleh dikatakan sebagai sebuah kelompok sosial yang mempunyai tanda pengenalan kolektif berasaskan ciri-ciri fizikal biologikal nyata, seperti warna kulit, warna mata, warna rambut dan sebagainya. Ciri paling ketara yang digunakan untuk membezakan kumpulan manusia ialah warna kulit.

Rasisme ditakrifkan sebagai pandangan, pemikiran, atau kepercayaan negatif oleh sesuatu kelompok sosial atau para anggotanya terhadap sesuatu kelompok lain berdasarkan perbezaan wajah fizikal-biologikal atau ras semata-mata dan ini ditunjukkan secara terbuka melalui perilaku atau tindakan terbuka. Rasisme ialah gabungan prejudis dan kuasa yang diartikulasi melalui diskriminasi berasaskan warna kulit dan ciri-ciri fizikal biologikal yang lain.

Rasisme wujud pada dua tahap: tahap individu dan tahap institusi. Pada tahap individu, rasisme berlaku dalam bentuk kepercayaan bahawa wujudnya ras tertentu yang berstatus lebih tinggi dan ada ras yang berstatus lebih rendah. Rasisme pada peringkat individu ini wujud dalam bentuk kepercayaan dan sikap individu. Pada tahap institusi, rasisme melibatkan dasar dan pelaksanaan yang bersifat diskriminasi, seterusnya membentuk ketidaksamaan bagi masyarakat daripada ras ang berbeza. Rasisme pada tahap institusi ini dapat dilihat secara tersirat dalam struktur sosial.

KONSEP PREJUDIS DAN STEREOTAIP

Prejudis ditakrif sebagai pandangan negatif mengenai ahli atau kelompok etnik lain yang tersemat dalam hati seseorang atau kelompok etnik tertentu; prejudis tidak diluahkan secara terbuka. Lazimnya, pandangan ini tidak berasaskan maklumat yang jelas, tepat atau mencukupi. Apabila prejudis disuarakan, prejudis menjadi stereotaip.

Prejudis antara etnik berlaku apabila sesebuah kumpulan etnik memandang negatif terhadap kumpulan etnik lain. Prejudis yang kuat terhadap kumpulan etnik lain sukar diubah walaupun fakta yang kukuh diberikan bagi membuktikan bahawa pemahaman tersebut adalah salah. Melalui proses sosialisasi, sikap prejudis disalurkan daripada satu generasi kepada generasi yang lain. Kesan sikap prejudis semakin mudah dilihat apabila berlaku persaingan bagi mendapatkan sesuatu yang terhad sama ada dalam aspek politik, ekonomi atau sosial dan sebagainya.

Stereotaip merupakan kenyataan-kenyataan umum yang negatif terhadap sesuatu kumpulan etnik seperti "semua orang Arab itu beragama Islam", "Orang Belanda itu bersifat kedekut" dan sebagainya. Dengan kata lain, stereotaip ialah gambaran berlebih-lebihan tentang sesuatu perlakuan baik atau buruk yang ditujukan kepada sesuatu kumpulan etnik oleh etnik lain. Hal ini terhasil apabila berlaku pertembungan dua atau lebih komuniti etnik. Fahaman stereotaip ini akan menimbulkan perasaan yang negatif dalam kalangan masyarakat, khususnya masyarakat majmuk di Malaysia. Hal ini kerana fahaman stereotaip akan mengakibatkan sesuatu kumpulan etnik itu memandang rendah terhadap kumpulan etnik lain dan seterusnya membataskan interaksi antara etnik dan menimbulkan semangat perkauman yang menebal.

Ringkasnya, setiap kumpulan etnik mmpunyai pandangan stereotaipnyaterhadap kumpulan etnik yang lain. Sebagai contoh, orang barat mempunyai pandangan stereotaip terhadap kumpulan-kumpulan etnik di Malaysia. Begitu juga, etnik melayu mempunyai gambaran stereotaip terhadap etnik cina dan india dansebaliknya. Maka, setiap pertembungan etnik akan menghasilkan stereotaip yang berupa gamabran negatif atau positif.

KONSEP DISKRIMINASI

Diskriminasi ditakrif sebagai pandangan, pemikiran dan kepercayaan negatif oleh seseorang atau sekelompok etnik terhadap anggota atau kelompok etnik lain yang mempengaruhi perilaku pihak yang berpandangan negatif. Tuntasnya, diskriminasi ialah erbuatan membandingkan seseorang individu atau sesuatu kelompok etnik lain berasaskan ciri-ciri etnik semata-mata.

Diskriminasi merupakan manifestasi prasangka yang wujud dalam kalangan sesuatu kumpulan etnik. Diskriminasi semakin mudah berlaku terutama apabila wujud prejudis dan stereotaip dalam sesebuah masyarakat, sama ada pada peringkat individu ataupun kumpulan etnik.

Diskriminasi berlaku dalam banyak bentuk. Diskriminasi dalam bentuk yang mudah dapat dilihat apabila individu sesuatu kumpulan etnik cuba mengelakkan diri daripada individu atau etnik yang diprasangkakan. Diskriminasi mencapai tahap tertinggi apabila melibatkan pembuangan kerja, serangan fizikal secara terbuka atau percubaan penghapusan sesebuah kumpulan etnik ( ethnic cleansing)

Monday, October 5, 2009

HUBUNG KAIT ANTARA EKONOMI DAN ETNISITI

Pengalaman sejarah membuktikan terdapat hubung kait yang jelas antara ekonomi dan etnisiti, khususnya identifikasi kegiatan dalam sesuatu sekto ekonomi dengan sesuatu kaum. Daripada keadaan ini, timbul persepsi yang kemudian menjadi stereotaip bahawa majoriti etnik Melayu terdiri daripada petani dan nelayan, etnik Cina pula terlibat dalam perniagaan dan sektor perlombongan manakala sebilangan besar etnik India merupakan buruh di estet. Di Sabah dan Sarawak pula, streotaipnya pula ialah kelompok peribumi terus menetap di kawasan pedalaman dalam keadaan serba serbi mundur sedangkan faktor ekonomi dikuasai oleh etnik Cina. Ertinya, apabila kita menyebut hal ekonomi, ini akan menyentuh secara langsung atau tidak langsung hal etnisiti dan begitu juga sebaliknya, seperti kata pepatah "cubit paha kanan, paha kiri sakit juga."

Berdasarkan keadaan tersebut, para penyelidik, sarjana dan pemerhati mengenai masyarakat Malaysia pernah menghujah bahawa memang tidak dapat dinafikan akan peri pentingnya faktor pertumbuhan ekonomi dan faktor kestabilan politik sebagai teras kejayaan Malaysia selama ini. Bagi mereka anak kunci bagi survival Malaysia ialah hubungan etnik yang harmonis. Menurut mereka lagi, sekiranya hubungan etnik yang harmonis ini tergugat maka survival Malaysia sebagai sebuah negara bangsa juga turut tercabar, biarpun kadar pertumbuhan ekonominya memuaskan dan kestabilan politik kelihatan baik. Pandangan ini dinyatakan dengan jelas oleh Joseph Stiglitz, bekas Ketua Ahli Ekonomi, Bank Dunia (1997-2000) dan penerima anugerah nobel (bidang ekonomi), 2001:

"I had the opportunity to talk to Malaysia's Prime Minister after the riots in Indonesia. His country has also experienced ethnic riots in the past. Malaysia has done a lot to prevent their recurrence, including putting in a program to promote employment for ethnics Malays. Mahathir knew that all gains in building a multiracial soceity could be lost, had he left the IMF dictate its policies to him and his country and then riots had broken out. For him, preventing a severe recession was not just a matter of economics, it was a matter of the survival of the nation."

Kenyataan Stiglitz inimenekankan bahawa dalam konteks Malaysia, apabila berlakunya sesuatu kegawatan ekonomi yang tenat (seperti yang terjadi pada tahun 1997-1998), penyelesaian ekonomi sahaja ternyata tidak mencukupi kerana seperti yang kita sedia maklum akan hubung kait ekonomi dan etnisiti amat rapat. Ertinya, jika masalah ekonomi terjadi, maka dengan sendirinya masalah ini akan menjadi masalah etnisiti. Maka sebarang penyelesaian terhadap sesuatu masalah ekonomi di Malaysia mesti diambil kira impaknya terhadap hubungan etnik. Hubungan timbal balik antara ekonomi dan etnisiti merupakan satu ciri penting sistem sosial Malaysia yang hingga sekarang masih bertahan dengan baik, sehingga mendapat pujian daripada beberapa negara mundur, membangun dan maju di dunia hari ini. Malahan, beberapa negara telah menjadikan Malaysia sebagai negara contoh.

Intipati daripada huraian tersebut ialah hubungan etnik merupakan satu ciri penting yang mencorakkan sistem sosial Malaysia dan seterusnya mewarnai kehidupan harian smua rakyat Malaysia. Cuma, seluas dan sedalam manakah pengetahuan setiap rakyat Malaysia mengenai dinamika yang menjadi landasan proses hubungan etnik tersebut, iaitu pengetahuan yang melewati pandangan mata kasar dan pendapat popular? Hal ini masih diragui kerana kita tidak pernah mengkaji atau mencipta indeks untuk mengukur paras kefahaman tersebut. Kalau ada pun aspek ini masih dalampercubaan dan belum diaplikasikan. Tambahan pula, untuk mengukur erat longgarnya perpaduan etnik di Malaysia bukan suatu tugas yang mudah berbanding dengan menilai kepesatan pertumbuhan ekonomi negara. Dalam bidang ekonomi, kita mampu menjelaskan bagaimana kita membina asas ekonomi yang kukuh dan akhirnya mampu menempatkan kedudukan ekonomi pada tahap yang dihormati di seluruh dunia. Kenyataan ini mudah disokongoleh angka pertumbuhan ekonomi yang sihat. Sebaliknya, petunjuk dalam bidang hubungan etnik kita masih memerlukan suatu pendekatan yang mudah difahami, mantap dan realitistik untuk menghuraikan kejayaan Malaysia secara umum dalam mengekalkan keharmonian antara kaum.

Walaupun kita menghadapai kesukaran dalam mengukur tahap perpaduan nasional, namun negara-negara asing seluruh dunia masih melihat Malaysia secara perbandingan sebagai sebuah negara yang berjaya mewujudkan hubungan etnik yang harmonis. Tidak keterlaluan kalau dikatakan bahawa pemilihan Malaysia beberapa tahun lalu sebagai Pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) mempunyai kaitan langsung dengan prestasi baik ekonomi dan kestabilan politiknya yang terbina dalam acuan hubungan etnik yang harmonis.



Saturday, October 3, 2009

USAHA-USAHA KERAJAAN UNTUK MEMUPUK PERPADUAN NASIONAL

Kerajaan Malaysia telah menubuhkan Jabatan Perpaduan Negara ( kini Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional-JPNIN) pada tahun 1969 untuk memupuk perpaduan dan keharmonian antara kaum. JPNIN kini juga dipertanggungjawab memantapkan integrasi nasional, iaitu merapatkan masyarakat daripada semua negeri di Malaysia, khususnya antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak. Usaha-usaha lain yang diambil oleh kerajaan untuk memupuk perpaduan nasional dan hubungan etnik yang harmonis ialah pengenalan Rukun Negara (Ideologi Kebangsaan), Dasar Ekonomi Baru, Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan; pergabungan parti-parti politik melalui Barisan Nasional; dan integrasi antara wilayah (antara kawasan bandar dengan luar bandar serta antara semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak).

Namun, untuk menjamin dan memelihara hubungan etnik yang harmonis, sumbangan yang besifat top-down sahaja tidak mencukupi. Usaha ini mesti digenapkan oleh suatu usaha berbentuk bottom-up. Justeru, kerjasama dan sumbangan daripada sektor swasta (pimpinan korporat serta pelabur asing), sektor komuniti (pihak badan bukan kerajaan atau NGO) dan semua parti politik adalah sangat kritikal untuk melengkapkan usaha kerajaan yang bersifat top-down. Oleh yang demikian, keharmonian hubungan etnik di Malaysia tidak bergantung semata-mata pada keadaan berbaik-baik antara kumpulan etnik tetapi juga antara kumpulan kelas sosial yang berbeza (antara para pekerja, anggota kelas menengah dan mereka yang kaya daripada pelbagai kumpulan).

KEPENTINGAN HUBUNGAN ETNIK YANG HARMONIS

Berdasarkan pengalaman 13 mei 1969, ternyata faktor hubungan etnik yang harmonis menjadi anak kunci bagi keseimbangan antara kekukuhan ekonomi dan kestabilan politik. Peristiwa tersebut telah mendedehakan kepada kita semua bahawa survival Malaysia sebagai sebuah negara bangsa dan sistem sosial yang kukuh, tidak semata-mata terletak pada pertumbuhan ekonomi yang baik dan kestabilan politik yang mapan. Apa yang lebih pnting dalam konteks Malaysia sebagai sebuah masyarakat majmuk ialah usaha berterusan untuk memupuk dan mengekalkan hubungan etnik yang harmonis.

Sekiranya tidak dilakukan, dalam sekelip mata, pertumbuhan ekonomi dan kestabilan politik yang kita nikmati akan tergugat sekiranya berlaku lagi konflik etnik secara terbuka seperti peristiwa 13 mei 1969.

Pengajaran daripada Peristiwa 13 mei 1969

Peristiwa 13 mei 1969 telah memberi beberapa pengajaran penting kepada ahli-ahli politik dan setiap rakyat Malaysia, bak kate pepatah "yang baik buat tauladan, yang buruk dijadikan sempadan." Pertama, rusuhan kaum tidak menguntungkan sesiapa. Malahan, rusuhan kaum merugikan semua pihak dengan kehilangan nyawa dan kerosakkan harta benda. Kedua, langkah-langkah konkrit harus diambil untuk mengeratkan perpaduan nasional dan keharmonian antara kaum. Ketiga, perpaduan nasional tidak akan dicapai sekiranya terdapat sebilangan besar rakyat yang miskin. Keempat dan akhir sekali, peristiwa 13 mei telah memberi pengajaran bahawa setiap rakyat harus menghormati satu sama lain. Kita harus bersikap toleran dan menghormati adat resam kumpulan-kumpulan etnik lain. (Ranjit Singh Malhi, 2005)

Friday, October 2, 2009

Pengenalan Hubungan Etnik Di Malaysia Secara Umum

Malaysia telah berjaya melangkah keluar daripada kumpulan negara mundur kepada negara sedang membangun. Kini, Malaysia bergerak menuju kearah status negara maju, seperti yang dicita-citakan dan dinyatakan dalam Wawasan 2020. Pergerakan daripada negara mundur kepada negara sedang membangun berlaku dalam tempoh 50 tahun (1957-2007). Ia merupakan suatu jangka waktu yang cukup singkat menurut ukuran sejarah dunia. Pencetusan kepada proses transformasi sosioekonomi yang luar biasa ini ialah peristiwa rusuhan etnik 13 mei 1969 yang telah membuat kesemua rakyat Malaysia tersentak lalu membuka mata bahawa ada sesuatu yang tidak kena dalam masyarakat kita, khususnya dari segi hubungan etnik, walaupun kita sudah merdeka dan perlahan-lahan sudah mula menikmati keselesaan ekonomi.



Daripada pengalaman pahit tersebut Malaysia sedar bahawa kemajuan ekonomi sahaja tidak lengkap sekiranya tidak disertai kestabilan politik. Pada masa yang sama, kestabilan politik sahaja tidak memadai tanpa pembangunan ekonomi yang seimbang. Pembangunan ekonomi dan kestabilan politik perlu berjalan dengan lancar dan simbang agar tidak wujud kepincangan sehingga mnimbulkan konflik. Keseimbangan tersebut melibatkan agihan kekayaan ekonomi secara saksama dan perkongsian kuasa yang matang. Oleh yang demikian, apakah faktor yang boleh membawa keseimbangan itu? Atau, apakah perkara yang perlu dipertahan serta dipelihara untuk menjamin keseimbangan secara berterusan?

Justeru, melalui blog ini, penulis akan cuba merungkai persoalan-persoalan yang timbul sperti diatas menggunakan sumber rujukan yang tertentu.